Berita Utama

27,000 permohonan peranti dalam masa 7 jam

Dapat sambutan menggalakkan daripada pelajar IPT golongan B40

SEREMBAN, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Sejumlah 27,000 permohonan peranti bagi program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima dalam tempoh tujuh jam hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, permohonan dalam talian itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) daripada golongan B40 yang mula dibuka hari ini.

“Kebetulan hari ini adalah hari pertama permohonan peranti bagi pelajar B40, saya dimaklumkan dalam masa enam hingga tujuh jam, kita menerima 27,000 permohonan dalam talian.

“Satu sambutan luar biasa, menjadi hasrat kerajaan memastikan pelajar-pelajar di IPT mendapatkan peranti yang bersesuaian dengan jurusan pengajian diambil di universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Klana Resort, Seremban di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim.

Annuar turut menyantuni pelajar Maahad Tahfiz Al-Ihya pada majlis tersebut.

Media semalam melaporkan peranti program PerantiSiswa Keluarga Malaysia akan mula diagihkan Jun ini dijamin berkualiti tinggi daripada jenama terkenal.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat terutamanya pelajar IPT mempunyai peranti dan akses Internet pada kos yang berpatutan.

Annuar berkata, program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bakal memanfaatkan kira-kira 350,000 mahasiswa daripada keluarga B40 yang mengikuti pengajian seperti diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://perantisiswa.kkmm.gov.my.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, pemimpin di peringkat akar umbi memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat mengenai perkhidmatan jalur lebar dan telekomunikasi secara keseluruhan kepada masyarakat.

“Saya dapati ramai tidak mempunyai maklumat atau kurang kefahaman tentang perkhidmatan jalur lebar dan telekomunikasi secara keseluruhan, ini termasuk pemimpin dan wakil rakyat yang mungkin tidak mendapat gambaran jelas pelaksanaan tersebut.

“Saya percaya ramai pertama kali dengar PoP (point of presence), iaitu program paling penting dan menelan belanja berbilion ringgit dalam menaik taraf capaian perkhidmatan jalur lebar yang melibatkan 4,000 sekolah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pentingnya peranan pemimpin dan wakil rakyat membantu menjayakan program serta inisiatif kementerian dalam peningkatan jalur lebar secara keseluruhan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button