Aidilfitri: Penjawat awam Terengganu terima RM500
Bantuan khas babit 13,827 kakitangan awam gred 56 ke bawah

KUALA TERENGGANU, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Penjawat awam Terengganu bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM500 pada 25 April ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bantuan itu melibatkan seramai 13,827 kakitangan awam negeri gred 56 dan ke bawah.
“Semoga dengan bantuan ini dapat memeriahkan sambutan hari raya kita bersama orang yang tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan Bantuan Khas i-Fitri berjumlah keseluruhan RM58.99 juta kepada 50,947 penerima di negeri itu.
Menurutnya, implikasi kewangan bagi kedua-dua bantuan tersebut mencecah RM65.9 juta.
“Selepas dua tahun kita berada dalam fasa pandemik COVID-19 dan sambutan hari raya terpaksa dibuat secara terbatas, tahun ini kita bakal menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah dalam fasa (peralihan) endemik,” katanya.- Bernama