Berita Utama

Sokongan pada PH-BN merosot kerana kepincangan pimpinan Anwar

Banyak manifesto PRU15 tak tertunai, lantik Presiden UMNO ada kes rasuah

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Muharam 1445H, Ahad – Mesej rakyat mahukan peralihan kuasa terbukti apabila sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) merosot di semua enam negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor yang merupakan kubu kuat gabungan itu.

PH-BN hilang 21 kerusi di Selangor (hanya menang 34 daripada 55 kerusi) dan juga hilang dominasi dua per tiga Dewan Negeri.

Begitu juga di Pulau Pinang, gabungan itu hilang 10 kerusi (menang 29 kerusi sahaja daripada 39) berbanding PRU14 yang lalu.

Bukan itu sahaja, BN atau UMNO turut kalah teruk di kerusi-kerusi milik mereka di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan apabila analisa menunjukkan majoriti undi UMNO telah beralih kepada calon-calon Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad yakin fenomena ini berlaku disebabkan kepincangan Kerajaan Pusat yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak PRU15 yang lalu.

Kerajaan campuran ini bermula dengan menipu rakyat apabila tidak menunaikan manifesto PRU15 – yang paling ketara ialah Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, lantikan politik dalam GLC serta melindungi Presiden UMNO yang masih mempunyai banyak kes rasuah dan salah guna kuasa yang belum selesai, katanya.

“Kerajaan Madani Anwar Ibrahim juga dilihat hanya kuat menyalak membenteras rasuah tapi turut terpalit pelbagai isu salah guna kuasa berkaitan penggunaan helikopter dan kereta mewah Perdana Menteri sendiri.

“Lebih malang, selepas lebih kurang setahun memerintah, tidak ada impak positif yang berjaya dibina untuk membawa Malaysia lebih maju, malah para pimpinan PH-BN sibuk berpolitiking.

“Mereka juga membunuh karakter musuh politik masing-masing serta memperkukuhkan cengkaman parti politik masing-masing (bukan negara) untuk elak ditumbangkan serta menang dalam PRN 2023 dan PRU16 nanti,” katanya.

Justeru, Lukman percaya keputusan semalam disebabkan pengundi anak muda yang prihatin dan cekap memerhati dengan memberikan indikator awal dalam PRN 2023 kali ini.

“Kerajaan Madani ini amat tidak berkredibiliti untuk memacu negara. Jika Malaysia inginkan perubahan, rakyat perlu terus membina momentum dan membuat perubahan dalam PRU16 nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button