Berita Utama

Makkal Sakti minta 3 kerusi Parlimen, 5 DUN dari BN

Tidak had kawasan tertentu, tapi berhasrat tanding di Nilai

BANGI, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) menuntut tiga kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk V Saravana Kumar berkata, sudah tiba masanya untuk parti itu diberikan peluang atas kesetian selama 14 tahun menyokong BN.

“Dalam banyak-banyak parti komponen BN, sekarang ini hanya tinggal UMNO, MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Jadi apalah salahnya bagi kami peluang, dah banyak kali kami minta.

“Kami dah menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bulan lalu berkenaan hasrat ini selepas beliau sendiri membuat pengumuman di Perhimpunan Agong UMNO tempoh hari,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Saravana berkata, parti itu tidak mengehadkan kawasan tertentu, sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan BN untuk menetapkannya.

Menurut Saravana, parti itu menyimpan harapan untuk bertanding di kerusi DUN Nilai, dan beliau sendiri berhasrat mahu menawarkan diri di kawasan berkenaan.

“Di Negeri Sembilan saya berharap sekurang-kurangnya kami diberi satu kerusi iaitu DUN Nilai. Lagipun kita sudah lama bekerja di DUN Nilai.

“Jadi, berilah peluang kepada saya pula,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Makkal Sakti Negeri Sembilan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button