PAS sambut baik keputusan UMNO calonkan Ismail Sabri sebagai PM
Harap agenda perpaduan yang dipelopori Ismail dapat diteruskan

BANGI, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – PAS menyambut baik keputusan UMNO bagi mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya parti itu menang lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, partinya mendukung dan menyokong penuh kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Ogos lalu.
“PAS juga mengharapkan agenda perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.
“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan Persekutuan dengan pembangkang akan terpakai sehingga pembubaran Parlimen
Katanya, perjanjian itu akan membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata.
Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi rata-rata mahu Perdana Menteri kesembilan itu meneruskan tampuk pemerintahan selepas PRU15 sekiranya Barisan Nasional (BN) menang.