Berita Utama

PICKids: 270,282 kanak-kanak lengkap vaksinasi COVID-19

67.8 peratus individu dewasa telah terima dos penggalak

KUALA LUMPUR, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Jumlah kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak COVID-19 Kebangsaan (PICKids) meningkat kepada 270,282 individu atau 7.6 peratus setakat semalam berbanding 229,615 individu atau 6.5 peratus pada Rabu.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, setakat semalam juga seramai 1,380,661 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,867,600 individu atau 92.2 peratus telah lengkap divaksin manakala 2,969,812 atau 95.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, seramai 15,959,507 individu dewasa atau 67.8 peratus telah menerima dos penggalak manakala 22,959,889 atau 97.6 peratus telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,236,544 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 58,078 dos vaksin COVID-19 harian diberikan semalam melibatkan 8,554 dos pertama, 41,430 dos kedua dan 8,094 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,431,570.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 18 kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan Johor, Kedah dan Perak masing-masing mencatat tiga kes diikuti Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing dua kes.

Selain itu, satu kes kematian turut direkodkan di Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Putrajaya.-   Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button