Berita Utama

Pinjaman tidak wujud sebabkan kerugian RM8.8 juta tahun ini

‘Apa jua pinjaman yang minta bayaran pendahuluan adalah satu penipuan’

BANGI, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Sebanyak 903 kes penipuan pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian RM8,849,601.14 dalam tempoh empat bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan statistik pihak polis, penipuan pinjaman tidak wujud terus mencatatkan jumlah kes yang tinggi saban tahun.

Katanya, sepanjang tahun 2019, sejumlah 5,039 kes dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM48,428,531.93.

“Kes ini meningkat kepada 5,718 kes dengan kerugian sebanyak RM62,397,559.35 pada tahun 2020.

“Pada tahun 2021 sebanyak 4,784 kes telah dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM50,604,323.67,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, analisa yang dilakukan pihak polis mendapati satu-satunya cara sindiket mendapatkan wang mangsa dalam kes-kes sebegini adalah melalui bayaran pendahuluan yang kononnya perlu dibayar oleh mangsa sebelum pinjaman diluluskan.

Katanya, pelbagai alasan digunakan oleh pihak sindiket untuk mendapatkan bayaran pendahuluan tersebut antaranya sebagai bayaran guaman, insurans, bayaran untuk pengaktifan akaun, kredit, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya.

Hakikatnya, beliau berkata, perkara tersebut adalah bertentangan dengan kaedah pinjaman wang yang dipraktikkan oleh institusi perbankan ataupun syarikat pinjaman wang berlesen yang mana sebarang wang proses atau yuran yang perlu dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah pinjaman.

“Justeru dapat disimpulkan apa juga pinjaman yang meminta bayaran pendahuluan adalah satu penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak terjerumus sebagai mangsa kepada sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.

“Sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial, orang ramai bolehlah merujuk kepada CCID Scam Response Centre di talian 03 2610 1959 atau 03 2610 1599,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button