Berita Utama

Serah kepada rakyat tentukan calon PM: Abdul Hadi

'Tak perlu gopoh, tak mahu jadi macam Johor'

BANGI, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – PAS menyerahkan kepada rakyat bagi menentukan pemimpin mana yang akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya tidak akan tergopoh-gapah dalam soal itu dan mahu rakyat yang membuat pilihan apabila tiba waktu pilihan raya diadakan.

“Kita serah pada rakyat pilihan raya, (biar) rakyat menentukan keputusan pilihan raya, rakyat yang akan menentukan siapa (calon PM), parti mana kemudian.

“Tak perlu gopoh jadi macam Johor calon (Menteri Besar) orang lain, naik orang lain… ‘order (pesan) barang lain sampai hak (barang) lain’,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Mengulas mengenai keputusan mesyuarat UMNO untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini, Abdul Hadi berkata, ia akan diputuskan bersama dalam komponen Perikatan Nasional (PN).

“MoU, kita akan buat keputusan bersama. Satu perjumpaan sudah dibuat dengan Perdana Menteri, Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yasin), saya dengan parti komponen (dan) kita bersetuju sebarang keputusan mesti dibuat bersama.

“Kerana kerajaan ini, kerajaan Perikatan Nasional, 70 kerusi adalah PN dan gabungan dia (dan) UMNO sebahagian daripadanya,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan tiada lagi MoU 2.0 antara kerajaan dan PH walaupun ada cadangan untuk disambung.

Katanya, UMNO akan menentang sekiranya terdapat cadangan bagi menyambung perkara itu kerana MoU tersebut diadakan hanya bagi menangani COVID-19 di negara ini yang ketika ini telah memasuki fasa endemik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button