Berita UtamaDunia

VIDEO | Polis Israel ganggu jemaah Palestin solat di Masjid al-Aqsa

67 rakyat Palestin cedera ditembak, terkena bom tangan

BAITULMAQDIS, 13 Ramadan 1443H, Jumaat – Pasukan keselamatan Israel menceroboh perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan sengaja menganggu ribuan rakyat Palestin yang berkumpul untuk menunaikan solat pada bulan Ramadan.

Menurut pegawai perubatan, tindakan itu mencetuskan ketegangan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 67 rakyat Palestin cedera dalam keganasan yang berlaku sebelum Subuh pada Jumaat.

Video yang tular dalam talian menunjukkan penduduk Palestin membaling batu dan polis melepaskan gas pemedih mata serta bom tangan ke atas tanah yang mengelilingi masjid.

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, seramai 67 orang yang cedera akibat terkena tembakan peluru bersalut getah, bom tangan dan dipukul dengan belantan telah dipindahkan ke hospital.

Ketegangan itu turut menyebabkan salah seorang pengawal di tapak berkenaan cedera akibat ditembak di mata dengan peluru getah.

Kementerian Luar Israel mendakwa, puluhan lelaki bertopeng yang membawa bendera Palestin dan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) berarak ke perkarangan masjid pada awal Jumaat dan mengumpul batu.

“Polis terpaksa memasuki kawasan untuk menyuraikan orang ramai dan mengeluarkan batu itu bagi mengelakkan keganasan berlanjutan,” dakwanya di Twitter.

Polis Israel mendakwa, mereka menunggu sehingga solat selesai dan orang ramai mula bersurai.

Dalam satu kenyataan dakwanya, orang ramai mula membaling batu ke arah Tembok Barat, tapak suci Yahudi berhampiran dan memaksa mereka bertindak.

Rakyat Palestin melihat sebarang penempatan besar pasukan polis Israel di Masjid al-Aqsa sebagai satu tindakan provokasi.

Masjid berkenaan adalah tapak ketiga paling suci untuk umat Islam dan dibina di atas puncak bukit di Kota Lama Baitulmaqdis yang merupakan tapak paling suci bagi orang Yahudi, yang merujuknya sebagai ‘Temple Mount’.

Ia telah menjadi titik panas utama untuk keganasan Israel-Palestin selama beberapa dekad dan merupakan pusat intifada Palestin 2000-2005.

Ketegangan meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan beberapa siri serangan.

Israel telah melakukan gelombang tangkapan dan operasi ketenteraan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, mencetuskan pertempuran dengan rakyat Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button