Berita Utama

UMNO anggap Bersatu musuh dalam selimut

Tolak kerjasama elak mudarat yang besar: Zahid

BANGI, 22 Rabiulawal 1444H, Rabu – UMNO menyangkal dakwaan parti politik itu kononnya bertindak memecahbelahkan ummah kerana menolak kerjasama dengan parti Bersatu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tohmahan ini sama sekali tidak benar sedangkan UMNO itu sendiri memayungi penyatuan ummah.

Agenda itu malah terkandung rasmi dalam perlembagaannya demi agama, bangsa dan negara.

“Seterusnya diharmonikan dalam sebuah gagasan besar milik rakyat Barisan Nasional (BN).

“UMNO, MCA, MIC, PBRS dan ‘Friends of BN’ bermuafakat dengan prinsip bangsa Malaysia saling menghormati.

“Inilah jua asas yang kukuh memupuk kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu demi mengelakkan kemudaratan yang besar.

Sedangkan katanya, Bersatu sebuah parti yang ditubuhkan dengan matlamat untuk menamatkan UMNO dan BN.

“Apakah rasional UMNO diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut?

“Keputusan ini tidak bersifat individu, sebaliknya dicapai bersama oleh pimpinan dan akar umbi parti,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata, dalam mendalami perihal pemecah belah ummah harus bersandarkan fakta dan sejarah yang nyata.

Katanya, usaha memecahbelah bermula dengan kewujudan parti-parti politik serpihan angkara krisis tamak kuasa.

“Bermula dengan PKR, disusuli kewujudan Bersatu, PAN (Parti Amanah Negara) dan Pejuang memangkin kepada perpecahan.

“Para pimpinannya malah pernah bersengkongkol dengan DAP yang mereka sendiri labelkan tidak selari dengan Melayu.

“Rela dipergunakan untuk memecahahbelahkan ummah demi memenuhi kehendak dan cita-cita peribadi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button