Berita Utama

Cerai isteri secara ‘live’ ibarat aib maruah diri

Perlu dielak kerana boleh undang pelbagai persepsi tak baik

BANGI, 14 Ramadan 1443H, Sabtu – Bukan sahaja disifatkan perbuatan akhir zaman, tindakan melafaz cerai secara langsung dalam talian disifatkan seolah-olah menggadaikan maruah diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dielakkan kerana dibimbangi boleh mengundang pelbagai persepsi tidak baik.

“Kita patut rasa malu dengan perbuatan seperti ini (lafaz cerai dalam talian secara langsung).

“Walaupun penceraian adalah perkara halal namun ia tidak disukai oleh ALLAH SWT,” katanya seperti dipetik media tempatan hari ini.

Idris berkata, penceraian adalah kaedah terakhir yang boleh diambil oleh pasangan suami isteri selepas mereka habis membuat perundingan itu pun dengan talak satu.

Katanya, langkah itu bertujuan agar kedua-dua pihak boleh berfikir secara waras dengan tindakan yang diambil itu dan ia merupakan salah satu bentuk pendidikan yang telah diaturkan oleh Islam.

“Jadi tindakan sebegini perlu dielakkan supaya tidak berulang pada masa hadapan. Mungkin mereka mahu menaikkan rating di laman sosial sehingga sanggup berbuat demikian.

“Namun apa maknanya sehingga menggadai dan mengaibkan maruah diri sendiri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang selebriti dalam talian melafazkan cerai talak tiga terhadap isterinya menerusi siaran langsung di laman sosial miliknya pada Rabu lalu.

Selebriti berusia 53 tahun itu muncul bersiaran secara langsung selepas tujuh hari dilaporkan hilang sebelum mengakhiri siaran itu dengan lafaz cerai talak tiga terhadap isterinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button