Berita Utama

Ramai tak faham taktik Macau Scam, punca sindiket menjadi-jadi

Teknik ‘spoofing’ bolehkan pemanggil letak sebarang nombor telefon

BANGI, 23 Safar 1442H, Ahad – Penipuan sindiket Macau Scam semakin menjadi-jadi disebabkan masih ramai tidak faham taktik dan strategi digunakan.

Sekiranya orang ramai masih leka atau bersikap tamak untuk menjadi kaya tanpa berusaha keras, jenayah berkenaan akan terus berlaku. 

Sindiket menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, ‘spoofing’ pegawai polis atau agensi kerajaan, pegawai bank atau bank komersial. 

Pensyarah Kanan Kewangan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTMPasir Gudang, Suhana Mohamad berkata, ‘spoofing’ adalah teknik di mana pemanggil berkomunikasi menggunakan platform Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon.

Katanya, tindakan itu bertujuan memperdaya penerima kononnya pemanggil adalah daripada nombor telefon yang tertera pada skrin telefon. 

Malah, katanya, modus operandi digunakan oleh suspek adalah dengan menyamar sama ada sebagai pegawai polis, pegawai dari mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun  agensi tertentu dalam usaha menakut-nakutkan mangsa supaya terjebak dengan penipuan mereka. 

“Mengambil kira modus operandi semakin canggih, keupayaan pihak berkuasa juga perlu dipertingkat untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang.

“Mekanisme Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan Akta 778 yang dikuatkuasakan Januari 2017 berkaitan mengawal selia aktiviti pengumpulan dana melalui tawaran kepentingan kepada awam juga perlu diperkukuh dan diperhebat, sebagai usaha memastikan penipuan berleluasa dapat dibanteras dan dihentikan segera.

“Jika didekati dan diperkenalkan sesuatu skim menjanjikan pulangan bulan dan bintang, ia menunjukkan unsur pelanggaran Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Suhana berkata, jenayah pengubahan wang haram biasanya dikaitkan dengan pelbagai kesalahan.

Antaranya, menipu, rasuah atau merompak bank, di mana wang diperoleh dengan cara itu perlu ‘dicuci’ supaya terus dapat digunakan.

Jelasnya lagi, kaedah mencuci wang haram berkenaan adalah dengan menubuhkan perniagaan. 

Memetik laporan media, beliau berkata, sindiket menggunakan ejen di Malaysia bagi menguruskan pelaburan dengan mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan. 

“Terkini, sindiket mendekati selebriti dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk golongan ini mulakan perniagaan.

“Dakwaan menyatakan kegiatan dilindungi polis, termasuk pegawai atasan yang menerima habuan daripada sindiket antara penyebab Macau Scam sukar dibendung dan keuntungan haram diperoleh mudah dicuci.

“Terkini, SPRM menyiasat sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki ‘mencuci’ ratusan juta ringgit diraih daripada kegiatan mereka dalam perniagaan dan ada diusahakan selebriti terkenal tempatan,” katanya.

Berdasarkan statistik 2018, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melaporkan, kerugian akibat penipuan Macau Scam meningkat 55.5 peratus berbanding 2017. 

Ia membabitkan kerugian lebih RM224.6 juta dengan 4,965 kes direkodkan berbanding tahun sebelumnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button