Berita Utama

Malaysia kecam sekerasnya tindakan biadab Israel di al-Aqsa

Perbuatan keji, tak perikemanusiaan amat dikesali: Saifuddin

BANGI, 14 Ramadan 1443H, Sabtu – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab tentera Israel yang menyerang umat Islam Palestin, termasuk anggota perubatan dan wartawan di Masjid al-Aqsa semalam.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perbuatan keji dan tidak berperikemanusiaan itu amat dikesali serta tidak sepatutnya berlaku.

Apatah lagi ia berlaku pada hari Jumaat dan ketika umat Islam Palestin sedang berpuasa serta menunaikan ibadah di dalam bulan Ramadan, katanya.

“Tentera rejim Israel yang turut menyasarkan wanita dalam serangan tersebut merupakan satu tindakan yang kejam dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Malaysia akan terus konsisten dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Semalam, rejim Israel sengaja menganggu dan menyerbu perkarangan Masjid al-Aqsa selepas solat Subuh sehingga mencetuskan ketegangan dengan jemaah Palestin.

Sehingga kini, tentera Israel telah mencederakan kira-kira 150 rakyat Palestin dan menahan ratusan orang selepas menyerbu masjid berkenaan.

Rakyat Palestin mengadakan protes selepas serangan itu dan menyeru negara Islam melindungi al-Aqsa.

Keganasan di Baitulmaqdis baru-baru ini menimbulkan kebimbangan berulangnya tragedi pembunuhan beramai-ramai pada Mei tahun lalu apabila Israel membunuh lebih 250 rakyat Palestin dan mengakibatkan 1,900 lagi cedera di Gaza.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button