Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Pakistan kecam serangan Israel ke atas al-Aqsa

Langgar norma kemanusiaan, undang-undang hak asasi manusia

NEW DELHI, 14 Ramadan 1443H, Sabtu – Pakistan bersama negara Islam lain mengecam serangan Israel ke atas Masjid Al Aqsa pada Jumaat, susulan ketegangan terus memuncak di Baitulmaqdis.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas jemaah terutama ketika Ramadan, ia melanggar norma kemanusiaan dan undang-undang hak asasi manusia,” menurut Kementerian Luar Pakistan (MOFA) dalam satu kenyataan.

“Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Israel telah membunuh berpuluh-puluh dan mencederakan ramai rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur serta kawasan lain.

“Peningkatan aktiviti keganasan tentera Israel di wilayah Palestin amat dikesali,” menurut kementerian itu.

Sehingga kini, tentera Israel telah mencederakan kira-kira 150 rakyat Palestin dan menahan ratusan orang selepas menyerbu perkarangan masjid pada Jumaat, menurut laporan.

Rakyat Palestin mengadakan protes selepas serangan itu dan menyeru negara Islam melindungi Al Aqsa.

Sebilangan ahli politik Pakistan turut mengecam tindakan Israel dan menyuarakan solidariti bersama rakyat Palestin.

Pengerusi Senat, Muhammad Sadiq Sanjrani berkata, kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu harus memberi perhatian segera mengenai pencerobohan itu dan meminta tentera Israel bertanggungjawab terhadap keganasan yang tercetus.

“Keganasan yang berlaku di Masjid Al Aqsa adalah satu perkara yang amat menyedihkan,” ciap Sanjrani di Twitter.

Sementara itu, bekas perdana menteri Imran Khan berkata serangan Israel ketika umat Islam sedang solat di tapak ketiga paling suci itu menyebabkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Mereka yang mengutuk serangan Israel termasuk bekas Timbalan Speaker Dewan Negara Qasim Khan Suri, bekas Menteri Luar Negeri Shah Mahmood Qureshi dan bekas Speaker Dewan Negara Asad Qaiser.

Keganasan di Baitulmaqdis baru-baru ini menimbulkan kebimbangan berulangnya tragedi pembunuhan beramai-ramai pada Mei tahun lalu apabila Israel membunuh lebih 250 rakyat Palestin dan mengakibatkan 1,900 lagi cedera di Gaza.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button