Berita Utama

Rakyat boleh pulang ke kampung beraya: PM

Tiada rumah terbuka di Seri Perdana pada hari raya pertama

BERA, 14 Ramadan 1443H, Sabtu – Kerajaan masih berpegang dengan pendiriannya sebelum ini untuk membenarkan rakyat pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah kata Perdana Menteri, beliau sendiri telah berpesan kepada mereka yang ditemuinya untuk meraikan hari raya dengan baik bersama keluarga masing-masing selepas dua tahun tidak merayakan perayaan itu di kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

Ismail Sabri berkata, beliau sendiri sebagai Perdana Menteri ‘lari daripada kebiasaan’ dengan tidak mengadakan rumah terbuka di Seri Perdana pada hari raya pertama, yang merupakan kelaziman setiap kali Aidilfitri, bagi memberi peluang kepada rakyat menyambut hari raya bersama keluarga terlebih dahulu. 

“Saya sebut pada mereka (yang saya temui) bahawa anak-anak boleh balik beraya tahun ini. Saya percaya ramai yang sudah pulang ke kampung dari hari puasa pertama kerana jalan raya sesak teruk disebabkan ramai yang pulang untuk berbuka di kampung. 

“Kali ini, untuk beri peluang orang balik beraya, kita mengadakan Rumah Terbuka Perdana Menteri pada 8 Mei… balik kampung dahulu beraya dengan keluarga kerana sambutan malam sebelum raya memang ditunggu-tunggu untuk bersama-sama membuat persediaan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Petronas kepada golongan memerlukan termasuk golongan miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Mengkarak di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam keseronokan pulang ke kampung, Perdana Menteri meminta orang ramai untuk terus melakukan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran telah diberikan selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas. 

“Walaupun kawalan kendiri tidak diwajibkan, namun pemakaian pelitup muka masih diwajibkan. Saya berharap masing-masing boleh melakukan kawalan kendiri untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang lain walaupun tiada lagi penjarakan fizikal,” katanya. 

Mengulas mengenai sumbangan itu, Ismail Sabri berkata, sumbangan wang tunai yang diagihkan hari ini dan esok kepada 4,800 penerima dari sekitar Parlimen Bera adalah bagi membantu penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri. 

Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Hari Raya pada 3 Mei ini dan Ismail Sabri berkata rumah terbuka di Bera akan diadakan pada 7 Mei di Dataran Kerayong di sini.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button