Serangan zalim Israel di al-Aqsa takkan dimaafkan!
Berapa banyak lagi nyawa akan melayang dek kerakusan Zionis

BANGI, 14 Ramadan 1443H, Sabtu – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan serangan rejim Israel ke atas Masjid al-Aqsa semalam, sebagai tindakan yang tidak akan dimaafkan oleh mana-mana umat Islam seluruh dunia.
Malah, beliau berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai nilai kemanusiaan – tanpa mengira agama – juga tidak akan dapat menerima serangan yang dilakukan terhadap penduduk Palestin termasuk warga emas, wanita serta kanak-kanak.
Ahli Dewan Negara itu berkata, kezaliman dan keangkuhan tentera Zionis menjarah serta membobrokkan benteng hak asasi manusia tidak terhenti, meskipun pada bulan Ramadan.
“Entah berapa banyak lagi nyawa yang akan melayang dek kerakusan Zionis Israel sepanjang bulan yang mulia ini.
“Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh mereka yang terkorban dalam insiden tragis semalam di Masjid al-Aqsa.
“Doa kami rakyat Malaysia sentiasa mengiringi perjuangan saudara kami di sana,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Semalam, rejim Israel sengaja menganggu dan menyerbu perkarangan Masjid al-Aqsa selepas solat Subuh sehingga mencetuskan ketegangan dengan jemaah Palestin.
Sehingga kini, tentera Israel telah mencederakan kira-kira 150 rakyat Palestin dan menahan ratusan orang selepas menyerbu masjid berkenaan.
Rakyat Palestin mengadakan protes selepas serangan itu dan menyeru negara Islam melindungi al-Aqsa.
Keganasan di Baitulmaqdis baru-baru ini menimbulkan kebimbangan berulangnya tragedi pembunuhan beramai-ramai pada Mei tahun lalu apabila Israel membunuh lebih 250 rakyat Palestin dan mengakibatkan 1,900 lagi cedera di Gaza.