Berita Utama

Malaysia kecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi bakar al-Quran di Sweden

Sifatkan tindakan berkenaan melangkaui batas dan norma hak kebebasan bersuara

PUTRAJAYA, 15 Ramadan 1443H, Ahad – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi oleh pemimpin Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Linkoping, Sweden.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan tindakan tersebut melangkaui batas dan norma hak kebebasan bersuara.

“Tindakan itu merupakan suatu usaha provokasi dan menghasut kebencian yang mesti ditolak semua pihak yang inginkan keamanan dan hidup bersama dalam budaya damai.

“Malaysia juga menekankan kepentingan menghapuskan semua bentuk keganasan dan kebencian, termasuk Islamofobia.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan sentimen Islamofobia dan pelampau agama,” menurut kenyataan itu.

Khamis lalu, pemimpin Denmark dari parti sayap kanan Stram Kurs,  Paludan bertindak membakar senaskah al-Quran di kawasan didiami majoriti penduduk beragama Islam di Sweden.

Paludan dilaporkan melakukan tindakan tersebut di kawasan terbuka di selatan Linkoping dan tidak menghiraukan orang ramai yang membantah perbuatannya itu.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button