Berita Utama

Kes Bella: Rina sedia menghadap Tunku Mahkota Johor

‘Kementerian menyambut baik pelawaan dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan Tuanku’

KUALA LUMPUR, 15 Ramadan 1443H, Ahad – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bersedia menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempersembahkan status perbicaraan kes penderaan Bella.

Rina memaklumkan, kementerian berkenaan akan mempersembahkan tindakan yang telah disusuli pihak kementerian dalam membantu perbicaraan kes itu.

“Titah DYAM Tuanku yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna buat pihak kementerian dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella.

“Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh DYAM Tuanku. Menjunjung kasih DYAM Tuanku,” menurut hantaran itu.

Rina berkata, beliau terharu atas keprihatinan dizahirkan oleh baginda berdua yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan berkenaan.

Rina turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk berdoa agar urusan perbicaraan kes penderaan Bella dipermudahkan dan kebenaran dapat dibuktikan pada akhir perbicaraan.

Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button