Berita Utama

TMJ tawar khidmat peguam secara percuma demi keadilan nasib Bella

Tunku Ismail akan berhubung dengan Rina Harun tentang kes ini

JOHOR BAHRU, 15 Ramadan 1443H, Ahad – Prihatin akan nasib Bella, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia menawarkan perkhidmatan peguam-peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) berhubung kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom Down itu.

Tunku Ismail memaklumkan, beliau akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung perkara itu.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.

“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT dalam kes ini.

“Saya akan menghubungi Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak kementerian untuk kes ini.” katanya dalam entri di Facebooknya, hari ini.

Tunku Ismail memberitahu, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguam bela yang dilantik untuk mewakili orang kena tuduh (OKT).

Pada masa sama, Tunku Ismail turut menyuarakan mesej untuk menghentikan penderaan kanak-kanak merujuk kepada kes berkenaan.

Isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam turut bersuara berhubung kes berkenaan dan berjanji akan melakukan sedaya upaya untuk membantu mangsa dera tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button