Berita Utama

PRK Pelangai: PN yakin mampu buru kerusi ke-18 di Pahang

Takkan sesekali beri kemenangan percuma kepada PH-BN

BANGI, 6 Safar 1445H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) Pahang bersedia menempuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang akan ditetapkan tarikh oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, gabungan itu tidak akan sesekali memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) dalam PRK nanti.

Bahkan, PN Pahang juga yakin mampu mencapai keputusan membanggakan bagi memburu kerusi DUN ke-18 di negeri itu.

“PN dalam misi memburu kerusi ke-18, kita rasa (yakin) ada peluang untuk mendapatkan undi Melayu di DUN Pelangai.

“Jadi, kita tidak akan memberi laluan kepada BN-PH dengan kemenangan percuma di DUN Pelangai, sebaliknya PN Pahang akan masuk bertanding dan cuba untuk merebut kerusi ini,” katanya seperti dipetik sinar harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Tarmizi memaklumkan sudah menghantar nama calon-calon berkelayakan kepada PAS Pusat untuk membuat keputusan akhir, namun belum masa untuk mendedahkan perkara berkenaan.

“Siapa calon bertanding, itu rahsia dan ia masih lagi belum diputuskan oleh PAS Pusat.

“Tetapi PAS Pahang mengharapkan supaya calon anak tempatan diketengahkan dalam PRK DUN Pelangai,” katanya.

Semalam, SPR memaklumkan akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Pelangai, Pahang susulan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Kerusi DUN Pelangai sebelum ini diisi Johari yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Beliau bertanding empat penjuru dan berjaya menewaskan calon PN, Kasim Samat; calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad dengan majoriti 4,048 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button