Berita Utama

‘Buang masa saja berdebat’: Tok Mat

Isu kesejahteraan, kepentingan rakyat perlu diutamakan

BANGI, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Biarpun ‘sekapal’ namun penganjuran debat antara dua figura politik negara iaitu Datuk Seri Najib Razak dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak disambut baik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagi Mohamad, penganjuran debat seumpama itu dilihat hanya membuang masa sedangkan isu kesejahteraan rakyat perlu lebih diutamakan.

Malah, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu tidak tahu menahu mengenai debat antara dua pemimpin berkenaan.

“Saya tidak tahu menahu tentang itu (debat), bagi saya debat-debat ini membuang masa sahaja.

“Buat apa mahu berdebat-debat yang penting kita bersama bersetuju untuk melihat supaya kesejahteraan dan kepentingan rakyat itu menjadi keutamaan.

“Kita berdebat menang kalah itu cerita lain, apa gunanya berdebat tetapi rakyat masih lagi terbeban dan kesejahteraan mereka masih tidak mendapat perhatian,” katanya seperti dilaporkan portal tempatan, hari ini.

Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri dan Presiden PKR itu akan berlangsung pada 12 Mei depan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM).

Dalam sidang media bersama Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) semalam berkata, debat itu dijangka diadakan selama dua jam mulai jam 9 malam dan boleh disaksikan secara fizikal atau melalui saluran media.

Katanya, format debat merangkumi tiga bahagian berhubung isu Sapura Energy Berhad (SEB), masa depan Malaysia dan sesi soal jawab.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button