Berita Utama

Dua premis hiburan di KL diarah tutup semula

Laporan polis dibuat kerana ingkar arahan penutupan

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan dua premis hiburan di sekitar Jalan Telawi di ibu negara ditutup semula selepas beroperasi melanggar syarat lesen.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, tindakan khas itu diambil Jumaat lalu susulan daripada tindakan pada 10 April mengikut Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

Laporan polis turut dibuat terhadap kedua-dua premis berkenaan kerana ingkar terhadap arahan penutupan.

“Sebuah premis dikenakan tindakan penutupan serta merta di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) akta yang sama kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa kebenaran.

“Tindakan sita tiga peralatan berkaitan aktiviti hiburan turut dilakukan terhadap premis membabitkan pembesar suara, pengadun bunyi atau audio dan alat kawalan konsol Disk Jockey,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua peralatan berkaitan aktiviti hiburan yang disita akan dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara.

Katanya, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Orang awam dimohon untuk memberikan kerjasama atau sebarang maklumat mengenai aktiviti ini kepada DBKL menerusi Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur ([email protected]) di pautan pantas https://adukl.dbkl.gov.my,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button