Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Artikel Khas

Henti biayai SJKC tidak patuh dasar

SJKC hak kerajaan bukan hak persendirian, kenapa biarkan persatuan mereka buat sesuka hati. Siapa yang berkuasa, kerajaan atau persatuan?

BERITA yang tular mengenai pembinaan bangunan tambahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut, yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan ia tidak memenuhi syarat pematuhan tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan, bukanlah perkara baharu.

Kes seumpama ini biasa berlaku. Lembaga pengurusan sekolah yang dikenali sebagai Dong Zong dan Jiao Zong, kadangkala lebih berkuasa daripada kerajaan itu sendiri. Mereka yang menentukan hala tuju sekolah Cina SJKC, bukan kerajaan.

Bukan satu, sebenarnya banyak arahan kerajaan tidak dipatuhi. Selain daripada pembinaan haram tanpa kelulusan seperti di atas, pengambilan guru tambahan pun tidak dirujuk kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Dari segi akademik pun sama, arahan KPM supaya pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek bahasa Melayu (BM) yang jauh lebih mudah daripada BM di sekolah kebangsaan (SK), agar ditambah masanya agar murid-murid Cina boleh berbahasa Melayu dengan lebih baik, pun tidak diendahkan. Sudahlah BM SJKC jauh lebih mudah daripada silibus SK, arahan tambah masa oleh KPM pun tidak dihiraukan.

Begitu juga, penambahan masa pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah SJKC yang asalnya dalam BM pun tidak dihiraukan. Sejarah negara tetap diajar dalam bahasa Cina.

Ini belum termasuk mereka meletakkan syarat kepada kerajaan supaya guru-guru BM dan Bahasa Inggeris (BI) yang bukan Cina yang mengajar atau ditempatkan di SJKC mesti mempunyai kredit dalam bahasa mandarin peringkat SPM.

Dalam kata lain, mereka yang menetapkan garis panduan sendiri dan hala tuju SJKC, dengan mengenepikan arahan kerajaan. Sedangkan SJKC itu adalah sekolah kerajaan. SJKC seolah-olah seperti bapak mereka yang punya, bukan kerajaan. Apa semua semua ini?

Lihat dalam soal pembinaan haram yang dilakukan oleh SJKC di Segambut ini tanpa kelulusan kerajaan. Kementerian Pendidikan (KPM) yang bertanggungjawab terhadap semua sekolah dibawahnya telah memberikan arahan, tetapi tidak pernah dipatuhi.

Apabila keadaan sudah terdesak, mereka menggunakan petisyen untuk desak KPM agar tunduk dan meluluskan pembinaan haram itu.

Dalam kes ini, KPM sehingga kini kementerian itu tidak pernah menerima permohonan lengkap yang memenuhi syarat yang ditetapkan daripada pihak Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) bagi membolehkan pertimbangan dibuat terhadap pembinaan bangunan tambahan itu.

Malah menurut KPM, pihak LPS juga tidak mengendahkan dua surat arahan pemberhentian kerja terhadap bangunan itu yang pernah dikeluarkan pada 2014 dan 2015 dan bertindak meneruskan pembinaan terbabit sehingga ia siap sepenuhnya.

SJKC Khai Chee adalah sebuah sekolah kerajaan di atas tapak tanah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) seluas 0.68 hektar. Bermula pada 2012 hingga 2014, LPS melalui Guru Besar SJKC Khai Chee memohon untuk mendirikan satu blok bangunan di atas tanah persendirian sebagai bangunan tambahan kepada sekolah itu.

Memandangkan SJKC Khai Chee adalah sekolah kerajaan yang dibina di atas tanah milik PTP, cadangan pembinaan bangunan tambahan perlu memenuhi syarat pematuhan tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan namun ia tidak dilakukan

Menurut KPM, sebanyak tiga syarat perlu dipenuhi bagi membolehkan permohonan itu dipertimbangkan iaitu pihak sekolah perlu mengemukakan bukti bahawa Chevron Malaysia Limited sudah membuka atau melupuskan kaveat ke atas tapak berkenaan.

Selain itu, pihak sekolah perlu mengemukakan semula skop projek supaya mematuhi Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Pembangunan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos bagi Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

LPS juga perlu mengemukakan surat jaminan untuk menyerahkan tapak dan bangunan baharu kepada kerajaan memandangkan sekolah ini adalah sekolah kerajaan. Arahan ini tidak pernah dipatuhi.

Laporan dan tinjauan yang dibuat oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 2014 mendapati pembinaan bangunan tambahan dimulakan di tapak yang dicadangkan tanpa mendapat kelulusan daripada KPM.

Satu surat arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan oleh JPWPKL pada 8 Disember 2014 berikutan bangunan itu dicadangkan untuk digunakan sebagai sekolah kerajaan

Mereka terus berdegil, LPS masih meneruskan kerja pembinaan bangunan itu menyebabkan surat kedua arahan pemberhentian kerja dikeluarkan kepada pihak LPS pada 7 September 2015. Kini, bangunan haram itu telah siap dibina dan mereka mendesak KPM untuk meluluskannya.

KPM sudah cukup baik dalam hal ini. Walaupun arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan, tiada tindakan keras diambil sehingga bangunan haram itu siap sepenuhnya.

Banyak lagi proses yang perlu diselesaikan. Bangunan lama SJKC berada di tanah kerajaan, manakala bangunan baharu (tambahan) berada di tanah persendirian yang masih belum selesai proses berkaitan kaveatnya. Mana ada undang-undang bangunan separuh di tanah sendiri, separuh di tanah orang. Itulah wajah ultra kiasu sebenarnya. Berbuat sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang.

Kemudian KPM didesak untuk menerima pembinaan haram ini. Mujurlah KPM masih tegas. Begitulah lunaknya KPM berurusan dengan persatuan yang tidak bertamadun ini, walaupun SJKC tersebut tidak mematuhi arahan.

Katakan diluluskan, ditakdirkan jika berlaku sesuatu tidak diingini, pada masa akan datang dari aspek perundangan, termasuk kehilangan nyawa, pasti yang akan dipertangungjawabkan adalah kerajaan, bukan persatuan.

Saya amat yakin selepas ini MCA akan campur tangan. Pemimpin mereka akan pergi melawat tapak, selepas itu semua selesai.

Begitulah cara kita menyelesaikan masalah. Yang haram boleh jadi halal, apabila ada campur tangan politik.

Kita harap kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan ultra kiasu yang langsung tidak menghormati undang-undang dan KPM sendiri yang bertangungjawab penuh terhadap semua sekolah dibawah seliaannya.

Dalam kes yang lain, sebelum ini tular berita beberapa SJKC menerusi LPS dan PIBG mereka menggaji guru ganti atau guru sementara untuk mengajar dalam sekolah tanpa permohonan atau menunggu kelulusan KPM. Lembaga dan PIBG mereka bertindak sesuka hati tanpa merujuk atau membuat permohonan kepada kerajaan. Perkara ini sudah lama berlaku.

Justeru, sudah sampai masanya kerajaan membuat kajian menyeluruh mengenai SJKC seluruh negara berjumlah lebih 1300 buah. Berpada-padalah.

SJKC ini adalah sekolah dibiayai kerajaan sepenuhnya. Berbilion wang kerajaan habis, tetapi dasar dan peraturan tidak dipatuhi. Lembaga dan PIBG mereka yang lebih berkuasa. Itulah wajah sebenar Dong Zong dan Jiao Zong.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, apa erti nama sebuah kerajaan yang berdaulat dan berligitimasi, jika NGO yang bernama pertubuhan bukan kerajaan jauh lebih berkuasa. NGO hanya kumpulan pendesak, tidak berdaulat, tidak ada ligitimasi, dan keputusan langsung tidak mengikat. Takkan kerana terlalu kemarukkan undi, kita sanggup gadaikan keputusan kerajaan yang berdaulat itu.

Hentikan pembiayaan kepada SJKC jika mereka mahu buat sesuka hatinya. Kaduk sudah lama naik junjung. Junjungpun hampir dan sudah ada yang patah, kenapa masih terus dibiarkan.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button