Israel terus zalimi Palestin, tangkap 16 penduduk di Tebing Barat
Tangkap semula bekas tahanan, geledah kebanyakan rumah

TEBING BARAT, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Selain Baitulmaqdis Timur, negara pengganas Israel terus menzalimi rakyat Palestin di Tebing Barat tatkala umat Islam menyambut bulan Ramadan.
Semalam, sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin ditahan oleh rejim Zionis dalam beberapa serbuan berasingan di seluruh wilayah yang diduduki itu.
Menurut sumber tempatan dan keselamatan, tentera Israel menangkap sembilan rakyat Palestin, termasuk dua beradik selepas menceroboh dan menggeledah rumah keluarga mereka di kampung Husan, bandar Bethlehem di selatan Tebing Barat.
Malah, tentera Israel turut menyamar sebagai Musta’ribeen dan menculik seorang penduduk Palestin di Jalan Sultan Suleiman di Baitulmaqdis Timur.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika polis Israel menyerbu kawasan Baitulmaqdis Wadi Hilweh, Bi’r Ayyoub dan Ein al-Louzeh di Silwan.
Di utara Tebing Barat, seorang rakyat Palestin dari bandar al-Yamoun, barat Jenin ditahan.
Askar rejim yang lengkap bersenjata api menangkap semula seorang bekas tahanan Palestin dan menggeledah rumahnya di bandar Tammun.
Sementara di Tebing Barat tengah, tentera menahan empat yang lain dalam beberapa serbuan di Ramallah dan daerah al-Bireh.
Seorang daripada tahanan dikenal pasti sebagai bekas banduan dari kampung al-Mazra’a al-Gharbiya, seorang lagi penduduk kampung berhampiran Qarawat Bani Zeid, seorang dari kampung al-Mughyyir dan tahanan keempat adalah penduduk kampung Saffa.
Sumber turut mengesahkan serbuan sama dibuat di kampung Nabi Saleh, di mana askar mengejar dan melepaskan tembakan ke arah remaja tempatan.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau pun penahanan dibuat.
Di daerah Jericho, sumber mengesahkan konfrontasi sama di pintu masuk kampung Fasayil, dan tentera Israel turut melepaskan tembakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Tentera Israel menyerbu rumah Palestin hampir setiap hari di seluruh Tebing Barat, kononnya mencari warga Palestin yang dikehendaki sehingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk setempat. – Agensi