Berita UtamaDunia

Makin ramai cedera dalam serangan Zionis di Masjid al-Aqsa

Presiden Turki bincang dengan PBB tangani keganasan berterusan

BAITULMAQDIS, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Lebih 20 penduduk Palestin cedera dalam beberapa kejadian pertempuran di sekitar Masjid al-Aqsa, semalam.

Pasukan keselamatan mengesahkan, 18 rakyat Palestin ditangkap dalam insiden berkenaan.

Pertempuran terbaharu menjadikan jumlah penduduk yang cedera meningkat kepada lebih 170 orang.

Bagaimanapun pertempuran di kawasan Masjid al-Aqsa semalam dilihat tidak seteruk sebelumnya, namun situasi berkenaan menyebabkan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett bakal kehilangan sokongan selepas kehilangan majoriti di Parlimen.

Parti United Arab List, parti pertama dari negara berkenaan menyuarakan hasrat menggantung keahlian berikutan tindakan zalim Israel dan mempertimbangkan untuk menarik dìri sekiranya rejim Zionis berterusan melakukan keganasan.

Gabungan Bennett menguasai 60 daripada 120 kerusi di Parlimen termasuk empat daripada parti United Arab List.

Sementara itu Presiden Turki, Tayyip Erdogan memberitahu rakan sejawatnya, Mahomoud Abbas bahawa pihaknya mengutuk tindakan negara haram Israel di Masjid al-Aqsa dan ancaman terhadap penduduk Palestin.

Katanya lagi, Turki akan sentiasa bersama menyokong Palestin.

Erdogan kemudian berkata, beliau akan mengadakan perbincangan mengenai perkembangan di Masjid al- Aqsa dengan Setiusaha Agung Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antinio Gutteres, dalam masa terdekat.

Malah, beliau berpandangan, provokasi dan ancaman yang dilakukan negara haram, Israel tersebut langsung tidak membawa hasil.

Sementara itu, Pegawai Kanan Palestin Hussein Al Sheikh berkata, keganasan yang dilakukan di kawasan Masjid al-Aqsa adalah serangan secara terang-terangan di kawasan suci dan menggesa masyarakat antarabangsa terlibat sama dalam mencari solusi terbaik.

Dalam pada itu, pemimpin Jordan, Raja Abdullah II turut menggesa Israel supaya menghentikan keganasan dan provokasi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button