Berita Utama

Najib mohon lebih masa fail petisyen rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Mohon lanjutan masa selewat-lewatnya hingga 25 April ini

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon lanjutan masa selewat-lewatnya hingga 25 April ini untuk memfailkan petisyen rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib selaku pemohon, memfailkan notis usul itu di Mahkamah Persekutuan pada 11 April lepas menerusi Tetuan Shafee & Co.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diperoleh media hari ini , Najib berkata alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid keseluruhannya dan pihak pembelaan menerimanya pada 31 Mac lepas.

β€œIa adalah mustahil untuk pasukan pembelaan saya meneliti rekod rayuan yang diterima dan menyediakan petisyen rayuan yang lengkap dalam masa yang singkat bagi menangani segala isu yang telah diketengahkan oleh Hakim – hakim Mahkamah Rayuan.

Alasan penghakiman tersebut perlu diteliti dengan memeriksa nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding bagi memastikan ketepatan dalam dapatan fakta, inferens yang dibuat dan undang-undang yang terpakai,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button