Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tekun Nasional selesai agih RM200 juta peruntukan SPIM: Noh

Peniaga layak menerima pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan

KOTA BHARU, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Peruntukan sebanyak RM200 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah selesai diagihkan kepada usahawan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan memanfaatkan 31,000 usahawan informal di seluruh negara.

Menurutnya menerusi peruntukan itu, peniaga layak menerima pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.

“Inisiatif kerajaan ini bertujuan membantu usahawan informal termasuk mereka yang berniaga dari rumah serta tanpa lesen perniagaan.

“Ada yang layak menerima pembiayaan RM3,000 dan maksimum RM10,000 bergantung kepada keperluan mereka.

“Saya harap RM200 juta ini dapat dibayar balik pada tahun depan untuk memberi peluang kepada orang lain membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia Negeri Kelantan, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abdul Ghani.

Terdahulu, beliau menyampaikan Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) bernilai RM3,000 seorang kepada 1,677 usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional Wilayah Kelantan dengan jumlah keseluruhan RM5 juta.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kementeriannya juga telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan tambahan bagi SPIM.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki dapatlah peruntukan yang dipohon sekali gus akan membantu lebih ramai usahawan menerima manfaat skim ini,” katanya.

Mengenai geran bantuan banjir, Noh berkata ia merupakan peruntukan daripada kerajaan bernilai RM50 juta kepada usahawan mikro seluruh negara yang terjejas akibat banjir besar Disember lepas untuk mereka bangkit semula dalam perniagaan.

“Setakat ini kita melihat kebanyakan mereka telah bangkit semula selain disokong dengan pembukaan sempadan dan musim Hari Raya Aidilfitri, kita harap perniagaan mereka akan bertambah baik dari semasa ke semasa,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button