Waspada! Jangan mudah dedah maklumat peribadi
Berpotensi disalah guna jika diperoleh pihak tak bertanggungjawab

BANGI, 16 Ramadan 1443H, Isnin – Tindakan mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali adalah merbahaya kerana boleh disalahgunakan seandainya diperoleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan masyarakat untuk berwaspada terhadap sebarang tawaran bantuan atau geran daripada pihak tertentu.
Ini kerana, pihaknya mengesan wujud cubaan mendapatkan data peribadi melalui hantaran mesej di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan risikan, pengguna laman sosial akan menerima mesej daripada individu yang tidak dikenali, dan seterusnya menawarkan geran kewangan yang dinamakan ‘Home Improvement Grant’.
“Geran tersebut didakwa sebagai program yang dikendalikan beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama Bank Dunia untuk membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan.
“Sekiranya berminat, pemohon diminta mengisi maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa maklumat lain yang dinyatakan di borang permohonan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kegiatan berkenaan.
“Masyarakat adalah diingatkan untuk sentiasa berwaspada kerana maklumat peribadi merupakan data yang berpotensi untuk disalahgunakan seandainya ia diperolehi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagi tujuan permohonan bantuan ataupun geran daripada pihak kerajaan, adalah dinasihatkan orang ramai untuk membuat semakan secara terus dengan agensi atau kementerian yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau mengingatkan untuk tidak sesekali percaya dengan mesej yang diterima daripada pihak ketiga.
“Sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersil, orang ramai bolehlah merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya.