Berita Utama

Bakar al-Quran: Provokasi terhadap Islam perlu dihentikan

Kebebasan bersuara tanpa batas perlu disanggah, dinilai semula

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1443H, Selasa – Tindakan provokasi melampau terhadap umat Islam seperti dilakukan pemimpin Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Linkoping, Sweden, baru-baru ini perlu dihentikan segera.  

Terdapat banyak insiden masjid dan sekolah umat Islam diceroboh dan dirosakkan serta berlakunya ‘hate crime’ hingga menyebabkan kecederaan mahupun kematian ke atas umat Islam.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, isu-isu sensitif berkaitan agama seperti menghina pemimpin agama mahupun kitab suci perlu dielakkan dalam memelihara keharmonian dan perpaduan dalam sesebuah negara. 

Pada masa sama, beliau berkata, konsep kebebasan bersuara yang sering dijulang Barat sepatutnya menerapkan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain terutamanya dalam isu berkaitan agama.

“Kebebasan bersuara yang diamalkan ketika ini terutamanya di Barat, dipandang umat Islam sebagai alat diskriminasi dan provokasi terhadap mereka di mana saat ini Islamofobia dilihat amat berleluasa hingga menyebabkan umat Islam di Eropah dan Barat dihina, ditindas dan dizalimi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sewajarnya konsep kebebasan bersuara tanpa batas dan mencetuskan kontroversi yang diamalkan perlu disanggah dan dinilai semula untuk kebaikan semua pihak.

Justeru, sudah sampai masanya penghinaan terhadap Islam, pemimpinnya mahupun al-Quran perlu dihentikan kerana ia hanya akan terus meningkatkan ketegangan yang berpanjangan.

Menurut laporan media, pada Khamis pemimpin Denmark dari parti sayap kanan Stram Kurs bertindak membakar senaskah al-Quran di kawasan didiami majoriti penduduk beragama Islam di Sweden.

Paludan dilaporkan melakukan tindakan tersebut di kawasan terbuka di selatan Linkoping dan tidak menghiraukan orang ramai yang membantah perbuatannya itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button