Berita Utama

Jawatankuasa pemantauan kaji dakwaan dalam buku Tommy Thomas

Laporan akhir diserah kepada jemaah menteri untuk tindakan selanjutnya

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1443H, Selasa – Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan bersetuju dengan Laporan Interim yang dibentangkan Pasukan Petugas Khas (PPK), bertujuan mengkaji dakwaan dalam buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan memaklumkan laporan akhir yang disediakan PPK akan dibentang untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya.

“PPK dijangka menyiapkan laporan penuh menjelang penghujung bulan Jun 2022.

“Kerajaan amat komited dalam meneliti isu berbangkit berhubung badan perundangan dan kehakiman negara bahkan penubuhan PPK ini merupakan antara langkah untuk memperkasa sistem keadilan Malaysia ke tahap terbaik,” katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan itu.

Beliau berkata Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 22 Dis lepas bersetuju dengan penubuhan, keahlian dan terma rujukan PPK berhubung Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Wan Junaidi berkata pasukan itu telah mengadakan 10 mesyuarat melibatkan sesi perbincangan dan konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan serta individu yang dikenal pasti mulai 23 Dis 2021 hingga 12 April lepas.

“PPK ini adalah sebuah pasukan yang memberi fokus kepada pencarian fakta terhadap dakwaan dalam buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas.

“PPK telah menjalankan pemerhatian dan analisis secara menyeluruh terhadap buku tersebut berpandukan kepada terma rujukan yang telah diluluskan oleh Kabinet,” katanya sambil menambah pasukan itu dipengerusikan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak Datuk Seri Fong Joo Chung.

PPK dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Dr Junaidah Kamarruddin.

Turut menganggotai PPK itu bekas hakim dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jagjit Singh Bant Singh, peguam Datuk Shaharudin Ali dan K.Balaguru serta wakil kerajaan Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button