Berita Utama

KPM perlu tangani ‘trend’ bersara awal dalam kalangan guru

Negara bakal rugi besar jika guru-guru pengalaman bersara awal

BANGI, 17 Ramadan 1443H, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) wajar untuk tampil menyatakan angka sebenar dan menjelaskan mengenai kegusaran Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung ‘trend’ bersara awal dalam kalangan guru.

Sebelum ini, NUTP dalam kenyataannya menganggarkan lebih daripada 10,000 guru telah membuat pilihan persaraan awal pada setiap tahun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, angka itu jauh melebihi yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021, bahawa sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun lepas.

Beliau berkata, jika anggaran NUTP itu adalah benar, maka ‘trend’ bersara awal atau berhenti daripada perkhidmatan dalam kalangan guru sangat membimbangkan.

“Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru di musim pandemik adalah sangat difahami. Ia sangat menguji ketahanan emosi dan psikologi mereka.

“Apatah lagi bila dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang akhirnya mengganggu tugas hakiki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, intervensi kerajaan dalam perkara itu adalah sangat penting kerana persaraan awal guru-guru berpengalaman menjadi satu kerugian besar kepada negara.

“Sekiranya berlarutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal. Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita.

“Aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf mutu antarabangsa akan pasti terjejas,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan memanggil KPM untuk menjelaskan perkara ini, supaya penyelesaian jangka panjang dapat dirumuskan.

“Guru adalah katalis sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara. Mereka mempunyai pengaruh luar biasa dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis.

“Justeru, kebajikan mereka adalah keutamaan yang tiada kompromi. Dan jika begitu ramai guru-guru mengakhiri karier mereka pada saat mereka masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button