Berita Utama

Polis siasat warga Kanada tak pakai pelitup muka, tunjuk isyarat lucah

Suspek keluar kata-kata kesat kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya

KUALA LUMPUR, 17 Ramadan 1443H, Selasa – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki warga Kanada yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini, akibat ditegur kerana tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki berumur 44 tahun itu hadir ke balai polis berkenaan pada 8.30 malam tadi bagi memberi keterangan setelah menyedari video memaparkan dirinya itu viral di media sosial.

“Suspek yang menetap dan bekerja di negara ini, disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peratuan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau talian penting polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, suspek ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Ahad lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif suspek terhadap pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button