Berita Utama

RM6.2 juta disalur kepada 6,186 keluarga mangsa banjir: MB

RM1 juta diperuntuk untuk baik pulih rumah dan infrastruktur

SEREMBAN, 17 Ramadan 1443H, Selasa – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan kira-kira RM6.2 juta kepada 6,186 keluarga yang terjejas akibat banjir sejak hujung tahun lepas hingga Mac tahun ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, semua senarai nama mangsa yang terbabit disahkan Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan disalurkan melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan yang terlibat.

“Selain Bantuan Ihsan Banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga itu, kerajaan negeri turut memberi bantuan termasuk pengecualian fi bayaran cetak semula geran tanah, fi pendaftaran surat akuan dan fi pendaftaran hak milik hilang.

“RM1 juta diperuntukkan untuk baik pulih rumah dan infrastruktur manakala bagi kerja darurat baik pulih jalan dan jambatan rosak (RM5 juta), serta bantuan keperluan asas seperti pakaian dan makanan (RM700,000),” katanya pada Persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) mengenai langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan negeri dalam proses pemulihan pascabanjir besar yang melanda Negeri Sembilan pada Disember tahun lepas.

Selain itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga membelanjakan RM300,000 bagi kerja-kerja pembersihan di empat daerah yang terlibat banjir serta tindakan pemulihan pascabanjir di enam daerah menerusi aktiviti gotong-royong pembersihan dan pemulihan kawasan terkesan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, 491 pengusaha sektor agromakanan di negeri ini terjejas banjir pada Disember 2020 hingga Januari tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 239 individu dari sektor tanaman, penternakan (141) dan akuakultur (111).

Bakri berkata, kerajaan negeri menyumbang wang ihsan berjumlah RM1,000 seorang kepada semua pengusaha agromakanan terlibat dan sumbangan telah disalurkan melalui pusat khidmat ADUN dan penyelaras kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Awaluddin Said (BN-Kota) dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) mengenai jumlah pengusaha agromakanan yang terjejas akibat banjir dan bentuk bantuan kepada pengusaha terlibat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button