Berita Utama

TMJ titah tutup segera pusat jagaan kanak-kanak haram

Syor Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda elak kes dera mangsa sindrom Down berulang

JOHOR BAHRU, 17 Ramadan 1443H, Selasa – Mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram perlu ditutup serta-merta, demikian antara titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Cadangan itu adalah buah fikiran baginda selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Wakil Pertubuhan Antarabangsa UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex di Royal Johor Club, hari ini.

Baginda mencadangkan undang-undang semasa bagi Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dipinda segera bagi memastikan kes penderaan mangsa sindrom Down dikenali sebagai Bella tidak kembali berulang.

“Penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan dengan segera yang mana ia haruslah merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

“Ini adalah bagi memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titahnya menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook rasminya.

Tunku Ismail turut mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” katanya.

Tunku Ismail turut mencadangkan agar kerajaan segera membuat kajian mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak yang mana boleh bermula di pusat-pusat jagaan kanak-kanak di Negeri Johor.

“Kajian ini harus bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF atau institusi-institusi bebas lain dan kajian tersebut didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button