Berita Utama

362 tahanan Rohingya berjaya ditahan semula

Gerakan mencari dan menahan tahanan giat dijalankan

BANGI, 18 Ramadan 1443H, Rabu – Gerakan mencari dan menahan 528 tahanan etnik Rohingya yang lari dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi ini, sedang giat dijalankan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, gerakan itu dilakukan dengan kerjasama polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan bantuan orang ramai.

Katanya, sehingga jam 10 pagi tadi seramai 362 orang tahanan berjaya ditahan semula, manakala gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan.

“Seramai 528 orang tahanan etnik Rohingya telah melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

“Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan jeriji.

“Pegawai bertugas telah mengaktifkan SOP dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan tahanan yang lari itu supaya memaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia atau polis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button