Jatuhkan BN? Samsuri sangkal, dokumen sampah pun ada orang percaya
'Saya gelak saja, eja nama saya pun tidak betul'

BANGI, 18 Ramadan 1443H, Rabu – PAS menyangkal dakwaan kononnya parti itu mengatur gerakan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dokumen yang mengaitkan usaha Perikatan Nasional (PN) melemahkan BN itu adalah tidak benar namun disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya jugakah? Saya gelak saja, eja nama saya pun tidak betul,” katanya seperti dipetik media tempatan hari ini.
Sebelum ini, tular beberapa dokumen minit mesyuarat PN mengenai pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac di samping 4 dan 7 April lalu.
Ahmad Samsuri mengakui berlaku pertemuannya bersama beberapa individu yang nama mereka ada dalam dokumen yang ditularkan itu, namun ia bukan bertujuan menjatuhkan pemimpin UMNO dan BN.
“Pertemuan itu ada, itu saya kata, eja nama saya pun tak betul, jadi pertemuan itu adalah dalam kapasiti yang berbeza dan dia campur-campur, dia tahu bahawa ada pertemuan ini, maka dia buat dia punya naratif, jadi saya rasa itu tiada kerja lain,” katanya.
Ditanya sama ada PAS akan mengambil tindakan undang-undang, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, isu berkenaan tidak wajar dilayan apatah lagi proses perundangan agak rumit.
“Kita pun tidak tahu siapa yang sebarkan dan sebagainya, proses undang-undang ini satu proses yang pada saya rumit juga sebenarnya.
“(Bila ambil tindakan undang-undang), kita ke mahkamah dan sebagainya, tidak berbaloi untuk layan, kalau tidak saya rasa tiada kerja lain, hari-hari kena buat laporan polis, kena pergi ke mahkamah kerana yang ‘viral’ benda-benda yang tak betul ini, saya rasa hampir setiap hari ada dan pada saya, tidak wajar untuk dilayan,” katanya.