Bilangan banduan di Maghribi meningkat 40 peratus
Perkhidmatan penjara tidak stabil dalam tempoh 10 tahun

RABAT, 19 Ramadan 1443H, Khamis – Terdapat peningkatan sebanyak 40 peratus bilangan banduan di penjara Maghribi sejak 10 tahun lalu, dedah seorang pegawai pentadbiran penjara.
Jeneral Delegasi Pentadbiran Penjara dan Penyepaduan Semula, Mohamed Saleh Tamek berkata, peningkatan berterusan bilangan banduan adalah cabaran paling menonjol yang dihadapi oleh pentadbiran penjara, kerana jumlah mereka setakat tahun lepas mencecah 89,000 orang.
Sementara pembiayaan untuk perkhidmatan penjara kekal tidak stabil dalam tempoh 10 tahun itu, menurut akhbar Hespress.
Ini bermakna, katanya, usaha besar diperlukan untuk menjalankan tugas berkaitan keselamatan, perkhidmatan pemakanan, penjagaan kesihatan dan pemulihan dengan tahap profesionalisme serta kecekapan tertinggi.
Jumlah banduan di Maghribi direkodkan sebanyak 89,711 pada Oktober, berbanding 84,990 pada Disember 2020.
Pertubuhan hak asasi manusia telah menyatakan bahawa penghuni 78 penjara Maghribi telah mencapai 113 peratus dan mungkin lebih 200 peratus di beberapa penjara. – Agensi