Berita Utama

Dihidang 1,001 masalah selama 22 bulan punca rakyat tolak PH

Tak mustahil negara terus lemah jika kepimpinan kini dikekalkan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Ramadan 1443H, Khamis – Pakatan Harapan (PH) diberi mandat untuk menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana rakyat percaya mereka mampu membawa perubahan kepada negara.

Sebaliknya, apa yang berlaku jauh menyimpang daripada tanggapan ramai sehinggakan pemerintahan selama 22 bulan PH menjadi titik hitam dalam kehidupan rakyat.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bahawa PH bakal berdepan kekalahan dalam dua PRU akan datang bukan sesuatu yang mengejutkan.

Malah beliau berpandangan, mana-mana blok politik dalam negara kini sedang berdepan ‘kesakitan tersendiri’ dan tidak mampu membela rakyat lagi.

“Semuanya tidak boleh diberikan harapan, dulu kita berharap pembangkang untuk mengubah nasib tapi sayangnya kita dihidangkan pelbagai masalah sehingga meninggalkan trauma kepada rakyat sepanjang 22 bulan memerintah.

“Begitu juga Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pun sama teruk masing-masing ada kepentingan diri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Sebelum ini Nurul Izzah membuat andaian PH bakal berdepan kegagalan dalam dua PRU sebelum kembali diterima rakyat.

Dalam pada itu, Ustaz Azib berkata, tidak mustahil negara akan berterusan dalam keadaan lemah sekiranya kepimpinan kini masih dikekalkan.

Sedangkan, katanya negara miliki sumber yang banyak dan boleh dimanfaatkan untuk pembangunan demi kebaikan rakyat.

Katanya lagi, rakyat kini begitu terdesak mahukan perubahan melalui gagasan kepimpinan baharu yang boleh menjayakan agenda lebih besar.

“Malaysia mempunyai sumber yang banyak dan boleh dimanfaatkan untuk kemajuan tetapi sayangnya kepimpinan yang sedia ada hari ini tiada hala tuju nasional yang besar untuk dimajukan.

“Pemimpin hari ini pinjam teori Barat, begitu juga sistem ekonomi kapitalis selain bergantung golongan kapitalis bagi kukuhkan kedudukan mereka mengekalkan tampuk kekuasaan mereka.

“Ini semua tidak boleh dibiarkan sebaliknya perlu dirombak dengan acuan politik kita yang sebenar yang dijamin boleh membawa agenda nasional yang lebih unggul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button