Kes Bella: Hakim beri amaran jangan keluar kenyataan hina mahkamah
Perbicaraan masih berjalan, tertuduh belum dibuktikan bersalah

BANGI, 19 Ramadan 1443, Khamis – Orang ramai diberi amaran agar tidak membuat sebarang komen di media sosial bersifat subjudis, fitnah atau menghina mahkamah berhubung kes pengabaian dan menganiaya membabitkan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella.
Amaran itu dikeluarkan Hakim Izralizam Sanusi selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Azizah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut seperti Justice for Bella dan ‘Justice for Bella macam mustahil di dunia ini’.
Beliau berkata, pihak yang mempunyai kuasa mendakwa boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang memuat naik kenyataan sedemikian.
“Mahkamah akur dengan semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara, namun mahkamah mengingatkan terdapat undang-undang yang berkuat kuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau dalam penulisan, hantaran, komen dan sebagainya.
“Apa yang jelas, mahkamah perlu mengingatkan semua, kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan, menghina mahkamah dan fitnah.
“Oleh itu mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai terutamanya yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah,” katanya seperti dipetik media tempatan.
Sekiranya berlaku perkara itu, Izralizam berkata, DPP boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran jelas melanggar undang-undang yang menghina mahkamah atau subjudis.
Katanya, sedangkan keterangan saksi pun belum selesai termasuk saksi kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang tidak hadir pada Khamis kerana tidak sihat, namun sudah ada komen-komen melampau.
Menurutnya, perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh belum dibuktikan bersalah.
“Kita masih lagi jauh perjalanan untuk memanggil saksi-sakti selain SP5 (saksi pendakwaan kelima) yang masih dalam pemeriksaan balas.
“Simpan komen-komen yang berbentuk subjudis dan fitnah untuk diri sendiri. Jangan untuk dapat followers, untuk baca tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, mahkamah mengambil maklum kenyataan peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu di mana perkara itu turut melibatkan officers of court.
Terdahulu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.