Berita Utama

Negara perlu ada pelan hala tuju isu PATI

Ia dikhuatiri jejaskan negara untuk jangka masa panjang

BANGI, 19 Ramadan 1443H, Khamis – Pelan hala tuju bagi menyelesaikan masalah melibatkan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini diperlukan segera.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali menyifatkan, pelan itu perlu disasarkan bagi mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini terutamanya yang memasuki negara secara haram.

“Isu tersebut sekiranya tidak ditangani dikhuatiri berpotensi menjejaskan negara dalam jangka masa panjang.

“Sekarang tidak tahu jumlahnya. Ada yang kata tiga juta, ada yang kata lima juta. Yang mana satu betul,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebanjiran PATI di dalam negara sehingga menyebabkan berlakunya kejadian melarikan diri kira-kira 528 tahanan etnik Rohingya dari Pusat Tahanan Relau.

Abdul Halim menyuarakan kebimbangan dengan situasi PATI yang memasuki negara ini secara haram dalam keadaan cukup daif sehingga merisikokan mereka dengan pelbagai penyakit.

“Bila mereka ini masuk tanpa izin, tempat duduk dia dalam keadaan cukup daif, keadaan itu boleh menyebabkan pembiakan penyakit, tengok saja COVID-19 dulu macam mana keadaan tempat duduk pekerja asing ini.

“Justeru menjadi kewajipan negara untuk memiliki satu dasar yang holistik bagaimana kita dapat menangani masalah ini,” katanya

Kelmarin, enam orang tahanan dari Pusat Tahanan Relau dilaporkan maut ketika cuba melintas Lebuhraya Utara Selatan manakala 229 lagi berjaya diberkas semula di Kilometer 168 lebuh raya sama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button