Berita Utama

Notis kompaun individu tak pakai pelitup muka masih diteruskan

Bukit Aman nafi kenyataan tiada lagi saman dikenakan

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1443H, Khamis – Bukit Aman menafikan kenyataan bahawa notis kompaun tidak akan dikeluarkan kepada mereka tidak memakai pelitup muka, walaupun terdapat kenyataan sumber dalaman yang tular.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, penguatkuasaan pemakaian pelitup muka masih kekal.

“Saya boleh mengesahkan bahawa notis kompaun masih akan dikeluarkan kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi untuk menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya ketika dihubungi akhbar tempatan, hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan bahawa polis akan berhenti mengeluarkan saman kepada orang yang tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai.

Ia memetik Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Azmi Adam bahawa keputusan itu dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sempena sambutan hari raya yang akan datang.

“Tiada lagi saman akan dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka, tetapi pegawai mesti menasihati mereka yang tidak berbuat demikian,” Azmi dilaporkan berkata demikian dalam pekeliling bertarikh 20 April yang dilihat oleh portal berita itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button