PBB kutuk letupan bom di 2 buah sekolah di barat Kabul
Serangan dilarang di bawah perundangan kemanusiaan antarabangsa

KABUL, 19 Ramadan 1443H, Khamis – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan berdarah letupan bom di dua institusi pendidikan di Kabul, mengorbankan enam individu dan mencederakan 20 yang lain, Selasa lalu.
Letupan berlaku di Sekolah Tinggi Abdul Rahim Shahid dan Pusat Pendidikan Mumtaz dengan kedua-dua lokasi terletak di Dasht-e-Barachi, kawasan majoriti penduduk Islam.
Menurut PPB Afghanistan, letupan itu berlaku sejurus selepas pelajar lelaki keluar daripada kelas sebelum disusuli letupan di Pusat Pendidikan Mumtaz.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, António Guterres mengecam perbuatan berkenaan, sambil menyifatkan serangan terhadap orang awam termasuk sekolah adalah perkara yang dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Misi Bantuan di Afghanistan (UNAMA) menerusi Twitter turut mengutuk serangan yang disifatkan sebagai tindakan keji itu.
“Mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah menyasarkan sekolah dan kanak-kanak mesti dibawa ke muka pengadilan,” kata UNAMA, sambil menyatakan Ketua Misi Deborah Lyons menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap mereka kembali sembuh dengan cepat.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB kepada Pelarian, Filippo Grandi turut mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat.
Dalam pada itu, Jurucakap Polis Kabul, Khalid Zhadran berkata, letupan berlaku disebabkan alat letupan buatan sendiri.
Seorang saksi berkata, alatan berkenaan dipasang ketika pelajar sedang berehat dan keluar daripada kelas. – Agensi
Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/04/19/6-maut-letupan-di-sekolah-menengah-di-kabul/