Berita Utama

1 Mei tarikh lihat anak bulan Syawal

29 lokasi dikenal pasti untuk lihat anak bulan Syawal

KUALA LUMPUR, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Majlis Raja-Raja juga bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Tarikh Aidilfitri akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam yang sama melalui radio dan televisyen.

Sebanyak 29 lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Bukit Jugra, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Geliga Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong.

Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button