Berita UtamaDunia

Imej satelit tunjukkan tapak kubur terbesar di Mariupol

Tentera Russia guna lori sampah angkat mayat di bawa tapak perkuburan

MARIUPOL, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Kesan peperangan buruk Russia-Ukraine mengorbankan ribuan orang awam yang tidak bersalah.

Terbaharu, imej satelit menunjukkan ratusan mayat yang dikebumikan di sebuah perkuburan terbesar berhampiran bandar Mariupol.

Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boichenko menuduh tentera Russia sengaja mengebumikan mayat orang awam di kawasan perkuburan terbesar berkenaan kononnya menutup jenayah perang yang dilakukan mereka.

Kawasan perkuburan berkenaan terletak di antara utara barat Manhush, kira-kira 20 kilometer dari Mariupol dan bersebelahan tapak perkuburan sedia ada.

Perkuburan berkenaan yang berkeluasan 85 meter persegi dengan empat barisan dibina bagi menampung sekurang-kurangnya 200 kubur baharu dalam tempoh sehari.

Malah imej satelit berkenaan menunjukkan tapak perkuburan baharu itu mula beroperasi antara 23 hingga 31 Mac lalu.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Mariupol dalam kenyataan menuduh tentera Russia telah mengebumikan ratusan orang awam di lokasi yang sama sebelum imej satelit berkaitan tapak perkuburan dikeluarkan.

Russia bagaimanapun enggan mengulas lanjut terhadap dakwaan itu.

Majlis Perbandaran memaklumkan, tentera Russia kini menggali lebih banyak kubur setiap hari bagi memudahkan urusan pengebumian di kawasan berkenaan – lebih besar dua kali ganda daripada tapak perkuburan sedia ada.

Tentera Russia juga dikatakan menggunakan lori sampah untuk membawa mayat-mayat orang awam ke lokasi tapak perkuburan berkenaan.

Awal bulan lalu, puluhan mayat-mayat orang awam bergelimpangan di jalan raya selama hampir dua minggu selepas Russia meninggalkan bandar itu sebagai sebahagian daripada pengunduran di utara Ukraine. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button