Berita UtamaDunia

Bank Dunia anggar kerosakan fizikal Ukraine AS$60 bilion setakat ini

Ukraine perlu AS$7 bilion sebulan tebus kerugian ekonomi akibat pencerobohan

WASHINGTON, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Kerosakan fizikal pada bangunan dan infrastruktur Ukraine akibat pencerobohan Russia mencecah kira-kira AS$60 bilion (RM258.36 bilion) dan akan meningkat lagi apabila perang berterusan, kata Presiden Bank Dunia, David Malpass.

Malpass memberitahu persidangan Bank Dunia mengenai keperluan bantuan kewangan Ukraine bahawa anggaran awal kos kerosakan ‘kecil’ tidak termasuk kos ekonomi yang semakin meningkat akibat perang kepada Ukraine.

“Sudah pasti perang masih berterusan, jadi kos itu meningkat,” katanya.

Dalam ucapan kepada persidangan maya itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menggariskan kos dan keperluan pembiayaan yang jauh lebih besar.

Beliau memberitahu peserta dalam kenyataan yang ditafsirkan bahawa Ukraine memerlukan AS$7 bilion (RM30.12 bilion) sebulan bagi menebus kerugian ekonomi yang disebabkan oleh pencerobohan Russia ke atas negaranya.

“Dan kami akan memerlukan ratusan bilion dolar untuk membina semula semua ini kemudian,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat global perlu mengecualikan Russia serta-merta daripada institusi kewangan antarabangsa, termasuk Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa dan lain-lain.

Katanya, semua negara mesti segera bersedia untuk memutuskan semua hubungan dengan Russia.

Zelenskiy menggesa negara yang mengenakan sekatan dan membekukan aset Russia untuk menggunakan wang itu bagi membantu membina semula Ukraine selepas perang dan membayar kerugian yang dialami oleh negara lain.

Sementara itu, Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal, yang menghadiri persidangan itu sendiri berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Ukraine boleh merosot sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus, dengan kerugian langsung dan tidak langsung berjumlah AS$560 bilion (RM2.4 bilion) setakat ini.

Jumlah itu lebih tiga kali ganda saiz ekonomi Ukraine, pada AS$155.5 bilion (RM669.16 bilion) ketika 2020, menurut data Bank Dunia.

“Jika kita tidak menghentikan perang ini bersama-sama, kerugian akan meningkat secara mendadak,” kata Shmyhal, sambil menambah bahawa Ukraine memerlukan pelan pembinaan semula yang serupa dengan Pelan Marshall pasca Perang Dunia Kedua yang membantu membina semula perang yang melanda Eropah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button