Berita Utama

Dos penggalak ke-2: Tempah janji temu di MySejahtera mulai hari ini

Pengembara ke luar negara boleh terus 'walk-in' di PPV beroperasi

BANGI, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Kementerian Kesihatan hari ini mengeluarkan mekanisma pelaksanaan pemberian dos penggalak kedua kepada segelintir kelompok penerima pertama membabitkan warga emas dengan komorbiditi berisiko tinggi dan pengembara ke luar negara.

Mekanisma itu turut merangkumi pemberian dos tambahan kepada individu berumur 12 tahun hingga 17 tahun yang berisiko tinggi dan dalam kategori ‘moderate or severe immunocompromised’.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian dos penggalak kedua vaksin Pfizer adalah bagi individu berumur 60 tahun dan ke atas yang berisiko tinggi.

Bagaimanapun, individu dalam kategori umur berkenaan yang sihat perlu berbincang dengan pengamal perubatan untuk pertimbangan jika ingin mengambil dos penggalak kedua, katanya.

Beliau berkata, kriteria penerima dos penggalak kedua mestilah berumur 60 tahun ke atas dan menerima dos penggalak pertama sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan lalu.

“Bagi individu yang telah lengkap mengambil dos penggalak pertama dan didapati mengalami jangkitan COVID-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua selepas selang masa tiga bulan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairy, individu yang memenuhi kriteria itu boleh membuat tempahan janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disenaraikan dalam aplikasi MySejahtera mulai hari ini.

“Individu yang sedang dalam rawatan di hospital kerajaan atau hospital swasta yang telah beroperasi sebagai PPV, boleh diberikan dos penggalak kedua secara opportunistik.

“Individu memenuhi kriteria boleh datang secara walk-in di mana-mana PPV yang masih beroperasi dan pusat jagaan warga emas boleh membuat permohonan bagi mendapat dos penggalak kedua ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran,” katanya.

Bagi pemberian dos tambahan remaja, beliau berkata, kriteria kelayakan membabitkan individu berumur 12 hingga 17 tahun yang berada dalam kategori ‘moderate or severe immunocompromised’.

“Individu boleh menerima dos tambahan sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dos terakhir siri primer.

“Bagi individu yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan COVID-19, mereka layak menerima dos tambahan selepas selang masa tiga bulan pulih sepenuhnya,” katanya.

Khairy berkata, individu yang sedang dalam rawatan di hospital kerajaan, hospital swasta atau klinik pakar kanak-kanak swasta, klinik kesihatan dengan pakar yang telah menjadi PP, boleh diberikan dos tambahan secara opportunistik di fasiliti tersebut.

“Bagi fasiliti yang tidak beroperasi dengan PPV, pakar yang merawat perlu melaksanakan Pre-Vaccination Assesment (PVA) dan seterusnya merujuk ke hospital kerajaan, hospital swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta atau klinik kesihatan dengan pakar yang beroperasi sebagai PPV.

“Bagi remaja yang layak tetapi tidak ditawarkan dos tambahan, mereka boleh dibawa berjumpa pakar perubatan yang merawat untuk menjalani PVA dan seterusnya dirujuk ke hospital kerajaan, hospital swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta atau klinik kesihatan dengan pakar yang beroperasi sebagai PPV,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, individu berumur 18 tahun dan ke atas yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selang masa sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama, bagi memenuhi syarat-syarat keperluan memasuki negara yang dilawati.

Katanya, mereka boleh hadir secara terus tanpa janji temu di PPV yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti tiket penerbangan atau dokumen perjalanan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button