Dunia

Jangkitan COVID-19 didakwa paling lama direkod selama 505 hari

Pesakit disahkan positif setiap kali ujian saringan dilakukan

LONDON, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Doktor di United Kingdom (UK) mendakwa telah merekodkan kes jangkitan COVID-19 paling lama, membabitkan pesakit mempunyai tahap virus yang dikesan selama lebih daripada 16 bulan atau 505 hari.

Individu yang tidak didedahkan namanya itu didakwa mempunyai masalah kesihatan lain, namun telah meninggal dunia di hospital pada tahun lalu.

Pakar perubatan London mendakwa, jangkitan berterusan seperti itu masih jarang berlaku.

Ini kerana, kebanyakan individu dijangkiti secara semula jadi akan bebas daripada virus, tetapi berbeza dengan pesakit terbabit kerana mempunyai sistem imun yang sangat lemah.

Jangkitan kronik seperti ini perlu dikaji untuk meningkatkan pemahaman mengenai COVID-19 dan risiko yang boleh timbul, dakwa pakar.

Pesakit pertama kali dijangkiti COVID-19 adalah pada awal tahun 2020, selepas mempunyai simptom dan disahkan menerusi ujian saringan RT-PCR.

Mereka keluar masuk hospital berulang kali sepanjang 72 minggu berikutnya, untuk pemeriksaan dan penjagaan rutin, menurut pakar.

Namun, setiap kali pemeriksaan – kira-kira 50 daripadanya – diuji positif dan masih dijangkiti COVID-19.

Doktor King’s College London dan Guy’s and St Thomas NHS Foundation Trust, Dr Luke Blagdon Snell berkata, analisis makmal mendedahkan ia adalah jangkitan sama dan berterusan, bukan serangan berulang.

Ia dikatakan berbeza dengan ‘long COVID’, di mana virus telah hilang daripada badan tetapi gejala masih berterusan.

“Ini adalah keputusan yang positif setiap kali ujian calitan tekak dibuat. Pesakit ini tidak pernah mengalami ujian negatif.

“Dan kita boleh merumuskan ia adalah satu jangkitan berterusan kerana genetiknya – maklumat yang diperoleh daripada penjujukan genom virus – adalah unik dan berterusan dalam badan pesakit,” katanya.

Jangkitan berpanjangan jarang berlaku namun ia penting kerana mungkin berisiko menimbulkan varian baharu COVID-19, kata penyelidik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button