Dunia

Kes COVID-19 terus menurun di seluruh dunia: WHO

5 juta kes jangkitan, 18,000 kematian dilaporkan minggu lalu

GENEVA, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Jumlah kes baharu COVID-19 dan kematian di seluruh dunia terus menurun sejak akhir Mac, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Organisasi kesihatan global itu berkata, lebih lima juta kes jangkitan dan 18,000 kematian dilaporkan pada minggu lalu.

“Sepanjang minggu 11 hingga 17 April, lebih lima juta kes dan lebih 18,000 kematian dilaporkan di enam wilayah WHO, masing-masing menurun 24 peratus dan 12 peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata WHO.

Sehingga 17 April, lebih 500 juta kes yang disahkan dan lebih enam juta kematian dilaporkan di seluruh dunia, katanya.

Semua wilayah melaporkan trend penurunan dalam jumlah jangkitan dan kematian baharu secara mingguan.

“Trend ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana beberapa negara secara beransur-ansur mengubah strategi ujian COVID-19 mereka, menyebabkan bilangan keseluruhan ujian yang dilakukan lebih rendah dan akibatnya bilangan kes yang dikesan lebih rendah,” kata WHO.

Menurutnya, Korea Selatan melaporkan jumlah kes baharu mingguan tertinggi iaitu 972,082 kes, turun sebanyak 33 peratus, Perancis (827,350 menurun 11 peratus), Jerman (769,466 turun sebanyak 25 peratus), Itali (421,707 penurunan sebanyak enam peratus) dan Jepun (342,665 naik satu peratus).

Jumlah kematian tertinggi mingguan dilaporkan di Amerika Syarikat (3,076, turun sebanyak sembilan peratus), Russia (1,784, penurunan 11 peratus), Korea Selatan (1,671 pengurangan 24 peratus), Jerman (1,227 turun sebanyak 27 peratus) dan Itali (944 turun lima peratus). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button