Berita UtamaDunia

Lelaki Pakistan jadikan pokok sebagai rumah

Kini Tarzan of Karachi bahagia jalani kehidupan, cari rezeki

ISLAMABAD, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Angkara tidak tahan dihalau kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan hidup sebagai gelandangan, seorang lelaki Pakistan nekad menjadikan sebatang pokok sebagai tempat menumpang teduh.

Lelaki yang dikenali Farman Ali kemudian membina sebuah pondok kecil di atas sebatang pokok yang dianggap istana kepadanya.

Lelaki berusia 28 tahun itu mengakui penghijrahan ke atas pokok tersebut adalah pilihan terakhir kepadanya selepas bosan dengan kehidupan sering diganggu.

Memetik oddityCentral, Farman mengakui dia selesa dengan pilihan tersebut walaupun terpaksa berteduh dalam pondok kecil di atas sebatang pokok.

Kisah sedih Farman bermula selepas kedua orang tuanya meninggal dunia menyebabkan dia kehilangan tempat tinggal dan terpaksa merempat.

Malah dia sering berpindah randah sehingga memberi kesan kepada kehidupannya.

Sejak itu dia memikirkan untuk mengubah nasib hidupnya walaupun menyedari dia tidak memiliki wang untuk mencari rumah yang lebih selesa dan selamat.

Lalu Farman melihat pokok yang rimbun di bandar tersebut sebagai lokasi sesuai untuk dirinya membina kehidupan baharu.

Farman yang merupakan anak jati Pakistan kemudian mencari kayu dan barangan terpakai sebelum berjaya membina sebuah pondok kecil diatas pokok berkenaan yang boleh dijadikan tempat untuk melelapkan mata.

Kehidupan di atas kayangan itu sudah dilalui sejak lapan tahun dan kini dia bahagia dengan kehidupan yang dilalui seorang diri sehingga diberi jolokan Tarzan of Karachi.

Farman mengakui dia sebelum ini memiliki keluarga yang sempurna namun isterinya lari meninggalkan dirinya berikutan tidak mampu menjalani tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan menjalani kehidupan yang miskin.

Kini walaupun menjalani kehidupan bersendirian, tetapi Farman tetap ceria.

Malah sebahagian kehidupannya dihabiskan untuk mencari rezeki.

Dia kini menyara kehidupan dengan melakukan pelbagai kerja termasuklah mencuci kereta dan membersihkan rumah.

Menariknya istana Farman turut dilengkapi sinki kecil, dapur untuk memasak dan lampu berkuasa bateri serta pengecas telefon. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button