Berita UtamaDunia

Liga Arab desak Israel hentikan upacara Yahudi di al-Aqsa

Tindakan biadab Zionis boleh cetus konflik lebih buruk

BAITULMAQDIS, 20 Ramadan 1443, Jumaat – Liga Arab mendesak negara pengganas Israel menamatkan upacara keagamaan Yahudi di perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Pihaknya memberi amaran bahawa tindakan sedemikian adalah penghinaan terang-terangan terhadap perasaan muslim dan boleh mencetuskan konflik yang lebih meluas.

Liga Arab mengatakan Israel telah menyekat orang Islam dalam hak beribadat mereka di Kota Lama Baitulmaqdis, sementara turut membenarkan Yahudi ultra-nasionalis memasuki tapak suci di bawah perlindungan polis.

“Tuntutan kami jelas bahawa al-Aqsa dan Haram al-Sharif di semua kawasannya adalah tempat ibadah tunggal bagi umat Islam,” tegas Menteri Luar, Jordan Ayman Safadi kepada pemberita selepas mesyuarat tergempar liga di Amman.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan apa yang disebut liga sebagai ‘dasar dan langkah haram Israel’ di Baitulmaqdis.

Sementara itu, Ketua Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata, Israel melanggar dasar berabad-abad yang menyatakan orang bukan Islam boleh melawat perkarangan al-Aqsa, tetapi mereka tidak boleh sembahyang di sana.

Minggu lalu, polis rusuhan Israel menyerbu perkarangan masjid al-Aqsa di mana sekurang-kurangnya 158 rakyat Palestin cedera dan ratusan ditahan.

Safadi, yang bercakap dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken minggu ini, bertemu pegawai kanan Jabatan Negara AS yang melawat wilayah itu pada Rabu lalu bagi langkah mengurangkan ketegangan di tapak suci itu.

Menteri Luar itu berkata, beliau telah menerima jaminan bahawa Israel akan menghalang penduduk Yahudi daripada memasuki al-Aqsa.

Perkarangan al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci Islam dan dikenali oleh umat Islam sebagai Haram al-Sharif.

Bagi orang Yahudi ia dikenali sebagai Temple Mount, tapak paling suci dalam agama Yahudi di mana mereka percaya terdapat dua kuil purba. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button